pencalonan
ANUGERAH KAMBING
( Pertama kali di dunia )
PENDAHULUAN
Anugerah ini diasaskan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia yang bertindak sebagai sekretariat, penaja dan promosi. Ia dibentuk dibawah satu Jawatankuasa Khas Anugerah Kambing PPIM yang menjadi panel pemantau dan memiliki kuasa eksekutif dalam memilih pencalonan oleh orang ramai atau membuat pencalonan yang diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa.
- Sebagai manusia, sebagai pengguna, sebagai pembayar cukai, sebagai rakyat Malaysia, kita berusaha dan mengharapkan agar memperolehi barangan atau perkhidmatan yang terbaik.
- Namun demikian, sering kali perkhidmatan dan barangan yang diterima amatlah mengecewakan, di bawah piawaian yang boleh diterima disebabkan kecuaian, tiada dedikasi, tiada kesungguhan, tiada fokus.
- Arkitek tidak merekabentuk bangunan dengan baik, kontraktor menyiapkan kerja sambil lewa, pemandu tidak berhati-hati, pemeriksa tidak memeriksa dengan tekun, pengurus tidak mengurus dengan baik sehinggakan kualiti perkhidmatan yang diberikan terpaksa diberikan berkali-kali, terpaksa diperbetul, diperbaiki…
- Pegawai bank tidak menyelia pembiayaan dengan baik, tiada memberi perkhidmatan setanding dengan nama dan imej bank.
- Perkara yang dapat dilakukan dalam masa satu jam mengambil masa sehingga 10 hari. Perkara asas diambil mudah dan terpaksa diulang berkali-kali. Perkhidmatan dan barangan yang diberikan tidak cukup mutunya menyebabkan kerugian, kematian, kecacatan, kebakaran, kerosakan, kesusahan, kesukaran, ketidakselesaan dan kesengsaraan..
- Maka dengan ini mereka yang terlibat perlu diberi anugerah atas pencapaian rendah mereka sebagai peringatan dan sebagai petanda bahawa pengguna mahukan perkhidmatan terbaik, setimpal dan standing dengan nilai yang dibelanjakan.
- Mulai hari ini satu pasukan pemantau pengguna telah dibentuk bagi memantau mana-mana organisasi yang gagal menepati mutu perkhidmatan atau produk dan akan mula menerima pencalonan dari para pengguna yang jelak dengan kualiti jelik yang diterima masyarakat. Mereka akan mencalonkan anugerah kambing kepada Sekretariat Anugerah Kambing di Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Anda dipelawa untuk mencalonkan mana-mana organisasi atau individu dalam organisasi yang layak dicalonkan anugerah kambing bagi mana-mana kategori pencalonan yang dirasakan wajar. Jangan lupa, sertakan bersama sebab yang munasabah kenapa pencalonan anda perlu untuk dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Khas Anugerah Kambing PPIM.
Sekian, selamat mencalon.
PENCALONAN ONLINE
TATACARA PENCALONAN
1. Sila kemukakan pencalonan anda di ruangan pencalonan.
2. Pencalonan hendaklah cara berhemah.
3. Maki hamun dan tidak digalakkan sangat.
4. Mencarut dengan menyebut anggota kemaluan adalah ditegah sama sekali dan mengakibatkan pencalonan anda terbatal dengan sendirinya walaupun pencalonan anda tepat dan wajar.
5. Utamakan pencalonan yang mengutamakan kepentingan umum dan bukannya atas dasar individu.
Format Pencalonan.
1. Nama Organisasi atau Individu yang boleh diberi kalungan kambing.
2. Sebab musabab kenapa pencalonan ini wajar.
3. Lokasi peristiwa.
4. Masa dan tarikh peristiwa.
5. Rujukan artikel atau gambar.
6. Kekesalan anda dan impak daripada peristiwa tersebut.
7. Katagori pencalonan
8. Nama betul atau nama samaran anda.
9. Pekerjaan dan jawatan anda.
“ Demi Negara, Berikanlah Yang Terbaik…”
